KUALA TERENGGANU – Universiti Sultan Zainal
Abidin (UniSZA) akan memulakan projek perintis penanaman ubi gadung secara
komersil di kawasan seluas 80 hektar di Pasir Akar dekat kampus UniSZA Tembila,
Besut Jun ini.
Ketua Kluster Bio-Perubatan UniSZA Prof Dr
Abdul Manaf Ali berkata ini susulan hasil kajian penyelidik mendapati ubi
gadung boleh ditanam di kawasan berpasir dan kualitinya sama seperti yang
tumbuh secara meliar di hutan.
“Kita sudah berjaya menyahtoksin racun dalam
ubi gadung ini untuk dijadikan tepung untuk membuat kek, muffin serta biskut.
“Sudah tiba masanya, kajian ini memasuki fasa
baharu iaitu untuk tujuan pengkomersilan yang akan melibatkan penduduk kampung
agar menjadi punca
pendapatan mereka pula,” katanya kepada
Bernama di majlis perasmian minggu penyelidikan dan pertandingan inovasi UniSZA
di sini semalam.
Dengan geran RM2.2 juta diterima daripada
kerajaan negeri Terengganu pada tahun 2010, ia melibatkan 11 kajian mengenai
ubi gadung yang merangkumi pelbagai aspek.
Abd Manaf berkata UniSZA akan mengadakan
memorandum persefahaman (MoU) dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan
Pertanian Malaysia (Mardi) untuk penyelidikan lanjut mengenai bio-pestisida
dalam ubi gadung.
“Bio-pestisida boleh digunakan untuk
menghasilkan racun serangga selain kegunaan untuk sumber makanan dan
farmaseutikal.
“Begitu juga dengan penggunaan ubi gadung
untuk sumber makanan tambahan kepada haiwan ternakan dan kesemua ini
membolehkan penanamannya secara komersil dilakukan lebih meluas selepas ini,”
katanya. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan