PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan berhubung permohonan kebenaran
merayu oleh Gereja Katolik terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang
penerbitan mingguannya, 'The Herald' daripada menggunakan kalimah Allah.
Ketua
Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mempengerusikan panel tujuh hakim berkata,
mahkamah menangguhkan keputusannya sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan
kemudian.
Ratusan
hadirin dilihat berkumpul di hadapan Istana Kehakiman di sini pada awal pagi
bagi menantikan keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Pelbagai
kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) Islam telah berada di perkarangan mahkamah
seawal jam 7 pagi untuk memberikan sokongan terhadap penggunaan kalimah ‘Allah’
yang dieksklusifkan kepada umat Islam sahaja.
Ada
antara ahli-ahli NGO ini seperti PERKASA, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA),
Jalur Tiga (JATI), Persatuan Mukabuku dan Pertubuhan Islam Gabungan Amal
(PETIGA) tiba dari pelbagai negeri seperti Pulau Pinang.
Mereka
melaungkan slogan-slogan sokongan terhadap Islam termasuk juga mengadakan solat
hajat dengan harapan agar panel hakim yang juga terdiri daripada Tan Sri Raus
Sharif, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri
Suriyadi Halim Omar, Datuk Zainun Ali dan Datuk Jeffrey Tan Kok Hwa akan kekal
dengan keputusan Mahkamah Rayuan iaitu memberikan hak eksklusif dalam
penggunaan kalimah Allah.
Terdapat
sedikit kekecohan berlaku dalam perhimpunan tersebut dimana seorang peguam
telah muncul sambil membawa bunga dan mendakwa tidak semua orang Melayu
beragama Islam yang mempunyai pemikiran yang serupa seperti PERKASA dan ISMA.
Dalam
ucapan ringkas itu juga, beliau turut membuat provokasi dengan memanggil orang
Islam yang berkumpul disitu sebagai ‘lembu’ kerana senang dipengaruhi oleh
sesetengah pihak.
Ternyata,
ucapannya itu telah menimbulkan kemarahan sesetengah pihak dan pihak
keselamatan yang bertugas terpaksa menenangkan seorang ketua NGO yang cuba
bersemuka dengannya.
Gereja
melalui peguamnya mengemukakan 26 soalan tentang Perlembagaan, undang-undang
tadbir dan kuasa mahkamah untuk membenarkan menteri dalam negeri mengharamkan
sesuatu perkataan keagamaan.
Pada
14 Oktober tahun lalu, Mahkamah Rayuan yang terdiri oleh panel tiga hakim
termasuk Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali telah*
membenarkan rayuan kerajaan untuk melarang penerbitan mingguan Katolik, Herald,
daripada menggunakan kalimah Allah.
Sumber: ASTROAWANI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan