HULU LANGAT 3 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Barisan Nasional (BN) akan menggunakan pendekatan 'menyerang' dalam berhadapan gelora yang bakal dibangkitkan parti lawan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bermula Selasa minggu depan. Timbalan Perdana Menteri berkata, sekalipun dilihat sebagai underdog, suhu politik ketika ini tidak memungkinkan BN hanya perlu bertahan, sebaliknya kelemahan parti lawan juga perlu didedahkan untuk pengetahuan umum. "Kalau kita hanya bersikap bertahan, kita akan dilihat lemah, sedangkan kita juga ada banyak maklumat berkenaan parti lawan termasuk wakil Bebas yang dikatakan bakal bertanding.
"Kita faham dan tahu kemelut yang
dihadapi Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta dasar-dasar yang dibawa yang jelas
tidak memberi kebaikan kepada rakyat, termasuk penduduk di Kajang,"
katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat jentera BN di
pejabat UMNO Hulu Langat di sini hari ini. Yang hadir sama Pengarah BN bagi PRK
DUN Kajang, Datuk Seri Noh Omar; Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan
calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun. Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN
turut menarik perhatian bahawa gabungan itu tidak akan menyerang peribadi lawan
sepanjang kempen, sebaliknya lebih mengutamakan penerangan berkenaan perkara
yang berkaitan kepentingan rakyat.
Beliau berkata, BN kini sudah bersedia
sepenuhnya untuk berjuang habis-habisan, malah semua gerak kerja ke arah itu
sudah dilaksanakan sepenuhnya. Muhyiddin berkata, mesyuarat yang diadakan hari
ini lebih kepada menyelaras gerak kerja serta menetapkan tanggungjawab mengikut
Pusat Daerah Mengundi masing-masing.
"Lebih utama, saya tekankan dalam
pilihan raya, rakyat adalah raja, sebab itu jentera kempen perlu memberi
keutamaan pengundi dan penduduk di mana mereka ditugaskan," katanya.
Pilihan raya kecil dijadual
berlangsung 23 Mac ini menyaksikan Mei Fun bakal berdepan Ketua Pembangkang,
Datuk Seri Anwar Ibrahim dan
calon Bebas, antaranya bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid
Ibrahim.
Pilihan raya kecil itu diadakan
berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh
daripada PKR pada 27 Januari lepas bagi memberi laluan kepada Anwar untuk
bertanding. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan