![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiGUFOwhfEVEiev9B9AypeK5HY2JatVxe1Cz-vsK0faf3D0TKVBbqthcS0YU3GJpIvQbBD0wubke2MHcmgXbCqrMmhEGCHbkW5qDF_QhVLsb5MA37Oe8RVIabThsXV-HXLQXkkmTIdvbao/s1600/%D8%B3%D8%B4%D9%84%D8%A7%D9%82%D9%87+%D8%A4%D8%A7%D8%AB%D8%AB%D9%86.jpg)
Hubungan
kerjasama antara media Malaysia dan Indonesia harus
dipertingkatkan dalam bidang penyiaran melalui pengwujudan stesen TV Nusantara
untuk saluran berita global dalam usaha menyebarkan maklumat lebih tepat kepada
masyarakat dunia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad
Shabery Cheek. Gagasan TV Nusantara itu yang menggunakan bahasa Melayu dalam
penyampaian beritanya, kata beliau, adalah sesuai dengan trend semasa media di
beberapa negara utama dunia untuk melaporkan berita dalam saluran TV global
mengikut kaca mata masing-masing dengan menggunakan bahasa sendiri.
“Kalau
dunia Arab ada Al-Jazeeranya, kalau dunia yang lain ada CNN, saya kira untuk
dunia Nusantara ada TV Nusantaranya,” katanya disambut tepukan gemuruh para
pengamal media dari Indonesia dan Malaysia sewaktu beliau berucap pada majlis
jamuan malam ‘keakraban Malaysia dan Indonesia’.
Jamuan
malam itu diadakan sempena Hari Pers (media) Nasional (HPN) Indonesia 2014 di
sini Ahad malam. Ahmad Shabery, yang pada siangnya menghadiri acara sambutan
perhimpunan HPN 2014 di sini, sedang dalam rangka lawatan dua hari ke sini
sejak Ahad. Menteri itu berkata beliau telah berbincang dengan rakan-rakan
media di Malaysia dan mewakili pandangan mereka bahawa Jakarta menjadi peneraju
stesen TV Nusantara itu dengan sokongan media dan kerajaan Malaysia.
Ahmad
Shabery berkata negara lain di dunia turut berlumba mengetengahkan bahasa
mereka melalui saluran berita seperti di Perancis, Itali dan Sepanyol, malah
beberapa negara utama sudahpun menggunakan bahasa mereka sendiri dalam saluran
berita global seperti di Jepun melalui stesen NHK, China melalui CCTV, Korea
Selatan melalui Arirang, Jerman melalui Duetche Wella dan dunia Arab melalui
stesen Al-Jazeera.
Menteri
itu sebelumnya turut memberi contoh bagaimana melalui ikatan bahasa Inggeris
dan budaya telah mengakrabkan hubunganLondon dan Washington seperti aur
dengan tebing, sentiasa bersama dan akan saling menyokong dalam keputusan dan
pendirian masing-masing, begitu juga ikatan bahasa Melayu harus mengakrabkan
hubungan Malaysia dan Indonesia.
“Hubungan
Inggeris dan Amerika katanya ‘right or wrong this is my brother’,
maka kita katanya Malaysia dan Indonesia, ‘right or wrong this is my brother’,”
katanya disambut tepukan gemuruh para tetamu.
Ahmad
Shabery berharap pertemuan susulan antara pihak yang berkaitan baik di
peringkat kerajaan dengan kerajaan serta antara perniagaan dan perniagaan yang
melibatkan pemodal media dari kedua-dua negara akan dibuat selepas ini bagi
merealisasikan penubuhan TV Nusantara itu. Pasaran untuk TV Nusantara, katanya,
adalah besar dengan lebih 240juta penduduk di Indonesia, hampir 30 juta
penduduk Malaysia, dan beberapa juta lagi penduduk di Selatan Thailand, Brunei
dan Singapura, adalah mewakili kira-kira separuh penduduk Asean, yang memahami
bahasa Melayu.
“Kita
mahu satu masa nanti bila kita bercakap tentang Komuniti Asean, yang bermula
pada tahun depan, biar hegemoni (dominasi) berita Nusantara ini akan menjadi
sebahagian daripada kekuatan dalam Komuniti Asean,” katanya.
Ahmad
Shabery turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada agensi berita Antara dan
Bernama, yang telah mengaturkan kerjasama dalam bidang penyiaran. Pada acara
itu Ahmad Shabery menyaksikan penandatanganan kerjasama pertukaran footage
video antara Bernama dan Antara. Bernama diwakili Ketua Pengarang Datuk
Zulkefli Salleh manakala Antara diwakili Ketua Pegawai Esekutifnya Saiful Hadi
pada majlis itu.
Hadir
sama pada jamuan malam itu ialah Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri
Zahrain Mohamed Hashim.
BERNAMA
Tuesday,
February 11, 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan