![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhTbmiSf7z8SCuYDIf40C13EXuLDLc67SZmCvk4gTwgyKKWW5YnTAFbsKa__Nav3hqQ8ytyifh1moyW41iMpstqXqy1SmipwWLlO08MQHfl3-NgvdH51uVsX9RVo80qWrWTuvlzn-4hgIs/s1600/aa.jpg)
Ini kerana negara-negara di kawasan jalur
antara sempadan Kazakhstan hingga ke utara Thailand itu diketahui mempunyai
sistem radar pertahanan yang mantap khususnya India. Pengawal trafik udara di Kolkata, India
menolak kemungkinan pesawat penerbangan MH370 yang hilang itu masuk ke ruang
udara India dan terbang sehingga ke jalur utara yang ditunjukkan oleh Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang media pada Sabtu.
“Tentera Udara India mempunyai radar di
beberapa tempat di serata negara dan adalah mustahil tidak ada satu pun
antaranya yang mengesan blip ganjil yang tidak ada kebenaran terbang,” kata
setiausaha persatuan pegawal trafik udara di Kolkata, Sugata Pramanik seperti
dipetik oleh Times of India.
Jelas Sugata, pesawat MH370 mungkin boleh
mengelak daripada dikesan oleh radar pemantauan sekunder tetapi ia masih boleh
dikesan oleh radar pemantauan primer yang digunakan oleh tentera udara.
Beliau juga menambah semua penerbangan dari
Malaysia menghala arah barat daya menuju ke Kazakhstan akan melalui kawasan
maklumat penerbangan Kolkata.
Laporan Times of India menyebut India
mempunyai sembilan zon pertahanan udara yang dikawal sepanjang masa 24 jam sehari
bagi mengelak sebarang pesawat musuh menceroboh ruang udaranya.
Seorang pengawal trafik udara yang lain,
Sushil Mondal pula menjelaskan keadaan akan jadi haru-biru sekiranya tentera
udara India mengesan pesawat yang tidak mempunyai kebenaran terbang di ruang
udaranya termasuk “mengerah pesawat tentera menembak jatuh (pesawat itu).”
“Ini tidak berlaku pada Sabtu (8 Mac) lalu,”
katanya.
Kenyataan dua pengawal trafik udara itu
disokong oleh kenyataan Paul Hayes, pengarah keselamatan dan insurans di sebuah
firma rundingan penerbangan, Ascend Worldwide yang berpejabat di London.
“Saya tidak percaya sebuah pesawat boleh
terbang masuk ke ruang udara India tanpa dikesan,” katanya seperti dipetik oleh
Bloomberg.
India pada Ahad menggantungkan operasi carian
di sekitar Kepulauan Andaman dan Kepulauan Nicobar serta Teluk Benggala dan
menunggu permintaan baru daripada Malaysia.
“Seluruh operasi ditangguhkan buat masa ini.
Kami menunggu arahan baru daripada Malaysia,” kata jurucakap tentera India,
Kolonel Harmit Singh.
Koridor utara yang menjangkau lebih kurang
dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand, atau
koridor selatan dari Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi.
Selain jalur utara, Najib dalam sidang media
pada Sabtu membayangkan kemungkinan kedua pesawat penerbangan MH370 terbang ke
arah selatan pada jalur antara Indonesia hingga ke bahagian selatan Lautan Hindi.
Lautan Hindi adalah kawasan laut ketiga
terbesar selepas Lautan Pasifik dan Atlantik.
Menurut Dave Gallo, seorang pakar di Institut
Kajian Lautan Woods Hole di Massachusetts, kawasan selatan Lautan Hindi
merupakan antara kawasan perairan yang cukup berbahaya.
“Lebih ke selatan dari Malaysia, keadaannya
lebih rumit, lebih dalam dan lebih bergelora,” kata Gallo, dan menambah, ia
mungkin lebih dalam daripada kedalaman nahas Air France AF447 pada 2009.
Gallo terlibat mengetuai usaha mencari
pesawat AF447 itu yang terhempas ke dalam Lautan Atlantik pada 2009. Serpihan
dan bangkai pesawat Airbus A330 itu ditemui lima hari selepas nahas tetapi
kotak hitam pesawat hanya dapat dikeluarkan dua tahun kemudian.
Pesawat penerbangan MH370 yang menuju ke Beijing
dari Kuala Lumpur hilang sejak 8 Mac lalu selepas dikesan oleh satelit pada
8.11 pagi hari yang sama dari lokasi yang tidak dapat dikenal pasti.
Lokasi itu dijangka berada antara dua kawasan
iaitu jalur utara antara sempadan Kazakhstan hingga ke utara Thailand dan jalur
selatan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi.
Usaha mengesan pesawat itu sebelum ini
disertai oleh 14 negara dan sekarang bakal disertai oleh negara-negara
berdekatan jalur berkenaan termasuk Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan,
Turkmenistan, Pakistan dan Myanmar.
Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan
media hari ini memaklumkan kedua-dua jalur utara dan selatan itu diberikan
perhatian yang seimbang dalam usaha mengesan pesawat yang hilang itu. –
Astroawani.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan