PUTRAJAYA 27 Mac - Bekas aktivis politik
dan sosial, Dr. Kassim Ahmad dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari
ini atas dua tuduhan iaitu menghina agama Islam dan mengingkari pihak berkuasa
agama dalam sebuah seminar pada Februari lalu.
Kassim, 81, mengaku tidak bersalah terhadap
kedua-dua pertuduhan yang didakwa dilakukan dalam Seminar Pemikiran Kassim
Ahmad: Suatu Penilaian 'Hala Tuju Bangsa dan Negara Malaysia Untuk 30
Tahun Akan Datang'.
Seminar tersebut diadakan di Yayasan Kepimpinan
Perdana, No. 1, Jalan PBH, Presint 8 di sini antara pukul 9 pagi dan 5 petang,
16 Februari lalu.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa
menghina agama Islam ketika membentangkan satu skrip ucapan yang bertajuk
'Ucapan Kepada Konferensi Politik Nasional Untuk Menentukan Hala Tuju
Malaysia Untuk 30 tahun Akan Datang' dengan mengatakan Nabi Muhammad tidak
perlu dimuliakan dan rambut wanita bukan aurat.
Pada masa yang sama, Kassim turut didakwa
mengingkari pihak berkuasa agama dengan memetik dua buku tulisannya yang telah
diharamkan oleh Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan iaitu 'Hadis Suatu
Penilaian Semula' dan 'Hadis Jawapan Kepada Pengkritik'.
Pertuduhan pertama dibuat mengikut Seksyen
7(B) dan pertuduhan kedua, Seksyen 9, masing-masing di bawah Akta Kesalahan
Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman
penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum sehingga RM3,000 atau
kedua-duanya.
Terdahulu, Ketua Pendakwa Syarie Jabatan
Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Ibrahim Deris yang mengendalikan
pendakwaan memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan
sekiranya dibenarkan, beliau meminta mahkamah mengenakan wang jaminan RM3,000
bagi setiap pertuduhan.
Kassim yang tidak diwakili peguam syarie pula
memohon agar dibenarkan diikat jamin dengan jumlah yang rendah memandangkan dia
menghadapi masalah kesihatan, tidak mempunyai pendapatan tetap dan bergantung
kepada bantuan kewangan tiga orang anak.
Hakim Syarie, Umamuddin Yunus kemudian
membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bermastautin
di Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi kedua-dua pertuduhan sementara
menunggu sebutan kes pada 7 April ini.
Tertuduh dibebaskan setelah menjelaskan wang
jaminan tersebut.
Kassim yang mencetuskan kontroversi berhubung
kenyataannya berunsur anti hadis baru-baru ini, ditahan penguat kuasa Jawi dan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di rumahnya, di Taman Kulim Perdana,
Kelab Golf Kulim, Kedah semalam.
Polemik mengenainya tercetus selepas beliau
dalam seminar itu mengeluarkan kenyataan mendakwa Islam di negara ini
diseleweng selain mengkritik sistem ulama Islam yang disamakan dengan 'kasta
paderi.'
Ekoran kenyataan berkenaan, pelbagai pihak
mengecam Kassim sehingga menyebabkan Jakim dan Jawi menahannya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan