Pentaksiran Berasaskan Sekolah atau
singkatannya PBS ialah satu pentaksiran yang bersifat holistik iaitu
menilai aspek kognitif, afektif dan psikomotor selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan
kurikulum kebangsaan Malaysia. Pentaksiran ini merupakan sesuatu yang agak
baharu dalam pendidikan di Malaysia, yang selaras dengan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Ia memainkan
peranan penting bagi tujuan melahirkan murid-murid yang seimbang dalam pelbagai
aspek. Pentaksiran adalah komponen penting dalam pendidikan kerana ia memberi
maklumat mengenai perkembangan murid kepada guru, ibubapa dan murid itu
sendiri. Hasil pentaksiran boleh membantu guru menilai kaedah pengajaran dan
aktiviti yang dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.Kementerian
prihatin terhadap dakwaan bahawa sistem pendidikan Negara terlalu berpaksikan
peperiksaan. Justeru, Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 17 Disember 2010 telah
bersetuju supaya Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dilaksanakan sebagai
sebahagian daripada Program Tranformasi Pendidikan. PBS merupakan satu usaha untuk membangunkan
modal insan secara holistik melalui penekanan terhadap penguasaan ilmu
pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan pengamalan
nilai, etika serta moral yang tinggi seperti tercatat di dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), Pelan Integriti Nasional (PIN) dan seperti yang dihasratkan dalam Misi Nasional. PBS
mula dilaksanakan di Sekolah Rendah pada tahun 2011 dan diperkenalkan di
peringkat Sekolah Menengah pada tahun 2012. Justeru pada tahun 2016 murid-murid
sekolah rendah akan menduduki UPSR yang telah ditambahbaik. Pada tahun 2014
pula PMR akan dilaksanakan sepenuhnya dalam bentuk PBS.
Walaupun falsafah di sebalik PBS itu
mungkin bagus, tetapi sepertimana banyak lagi perkara lain di Malaysia,
pelaksanaannya sangat buruk dari awal lagi. Sebagai contoh, seorang guru
terpaksa berjaga sehingga jam dua atau tiga pagi hanya untuk memasukkan gred ke
dalam sistem kerana sistem tersebut tidak sesak pada waktu-waktu tersebut. Malah
ada juga guru yang mengadu data yang mereka masukkan hilang. Mengandaikan
sistem tersebut tidak ‘sangkut’ seorang guru dengan 30 murid untuk satu
matapelajaran memerlukan minimum tiga jam seminggu hanya untuk memasukkan data
gred tersebut.
Pada 23 Februari 2014, Ketua Pengarah
Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yuso berkata, Kementerian Pendidikan
mengambil serius mengenai isu pelaksanaan PBS yang dibangkitkan oleh guru-guru
di samping pandangan tentang kesannya terhadap murid. Guru-guru tidak perlu
meneruskan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sehingga perkara
itu diputuskan oleh Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat. Berikut
kenyataan penuh beliau;
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
amat memandang serius mengenai isu pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah
(PBS) yang dibangkitkan oleh guru-guru di samping pandangan akan kesannya
kepada murid. PBS merupakan dasar yang melibatkan pentaksiran secara menyeluruh
(holistik) terhadap pencapaian murid. Dalam hal pelaksanaannya, KPM sentiasa
terbuka dan telus terhadap sebarang rungutan, komen, pandangan, kritikan
daripada guru-guru dan masyarakat.
Sehubungan dengan itu, selaras dengan
arahan Menteri Pendidikan supaya KPM membuat kajian menyeluruh mengenai
perlaksanaan PBS, pihak KPM telah mengambil inisiatif meneliti semula
pelaksanaannya agar dapat mengurangkan bebanan tugas guru. Kajian dan
penelitian ini difokuskan kepada rombakan terhadap perkara-perkara yang
melibatkan kekerapan guru-guru memasukkan data-data berkaitan eviden dan
pencapaian murid yang termasuk juga pengisian borang-borang perekodan prestasi
murid yang boleh membebankan guru-guru. Di samping memastikan kajian dan
penelitian tersebut dilaksana secara berkesan, KPM juga telah mengambil
langkah-langkah segera bagi menanganinya seperti berikut;
l. Menangguhkan taklimat PBS di
peringkat sekolah rendah dan menengah seluruh negara bermula pada 17 Februari
2014 bagi mengelakkan kekeliruan terhadap pelaksanaannya.
2. Mengadakan perbengkelan yang
melibatkan guru-guru termasuk kesatuan-kesatuan guru dalam usaha penelitian dan
kajian semula terhadap pelaksanaan PBS. Bengkel tersebut telah dilaksanakan
pada awal dan pertengahan bulan Februari 2014 dan hasilnya akan dibentangkan
semula kepada KPM dalam tempoh terdekat.
3. Menubuhkan Jawatankuasa Task Force
PBS di peringkat KPM yang mengadakan mesyuarat setiap minggu bagi meneliti dan
menilai perkembangan setiap tindakan terhadap penelitian PBS.
4. Mewujudkan War Room PBS di
peringkat KPM untuk menangani isu-isu berbangkit berkaitan pelaksanaan PBS
dengan segera dan berkesan termasuk membuat maklumbalas segera mengenainya dari
semasa ke semasa; dan
5. Usaha-usaha penambahbaikan terhadap
capaian Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) juga sedang
dilaksanakan di peringkat KPM bagi memastikan guru-guru boleh mengakses sistem
tersebut secara lebih mudah dan berkesan.
Kesemua tindakan tersebut diambil
adalah bagi memastikan setiap elemen pelaksanaan PBS dapat memberikan taksiran
secara holistik terhadap murid dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan
bebanan tugas guru yang melaksanakannya. KPM akan memaklumkan hasil penelitian
dan kajian semula berkaitan hal ini termasuk tindakan selanjutnya terhadap
pelaksanaan PBS setelah Menteri Pendidikan berpuas hati dengan penambahbaikan
yang dicadangkan dengan mengambilkira dapatan kajian terbaru KPM, rungutan para
guru dan pandangan masyarakat termasuk oleh Suara Guru Masyarakat Malaysia
(SGMM).
Buat masa ini guru-guru tidak perlu
meneruskan perlaksanaan PBS sehingga satu kenyataan mengenainya dibuat oleh KPM
dalam masa yang terdekat.
Sumber: http://m.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan