Ahad, 6 April 2014

TERENGGANU BAWA CANDAT SOTONG KE KELENDER PELANCONGAN GLOBAL




Dato’ Seri Ahmad Said dan Dato’ Mohd Jidin Shafee menjadi tetamu khas dalam program Assalamualaikum yang bersiaran secara langsung di TV Al-Hijrah di Kuala Lumpur, hari ini.
Pesta Candat Sotong Antarabangsa Terengganu 2014 merupakan salah satu usaha berterusan kerajaan negeri menjenamakan produk dan destinasi pelancongan tempatan ke pasaran pelancongan global. Penyertaan wakil media cetak, elektronik dan media sosial dari seluruh dunia selama tujuh hari bermula 11 April ini menyumbang kepada momentum promosi kalendar pelancongan Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, pesta bermusim antara April hingga Jun itu banyak membantu pengusaha dan pemilik bot nelayan menambah pendapatan sekaligus memperkukuhkan ekonomi para nelayan termasuk persatuan nelayan yang mengendalikan pakej pelancongan itu.

Katanya, pendedahan program candat sotong melalui media mampu menyumbang kepada galakan dan promosi bagi memperkenalkan lagi keunikan kepada dunia luar.“Kita mahu memberi peluang kepada wakil-media media merasai sendiri keseronokan dan keunikan aktiviti mencandat sotong dan seterusnya menulis serta menyiarkan pengalaman mereka dalam media masing-masing di negara masing-masing.

“Untuk jangka masa panjang, cara ini lebih efektif dalam mewujudkan keinginan dan keterujuaan kepada bakal-bakal pelancong yang ingin merasai sama pengalaman yang hanya ada di Terengganu,” katanya. Beliau berkata demikan dalam satu wawancara secara lansung di TV Al-Hijrah di Kuala Lumpur, hari ini. Selain Ahmad, turut menjadi tetamu khas rancangan Assalamualaikum itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd. Jidin Shafee.

Pesta Candat Sotong Antarabangsa Terengganu 2014 satu usaha kerajaan negeri mempromosikan produk dan destinasi pelancongan tempatan ke pasaran pelancongan global.
Mohd. Jidin berkata, setakat hari ini, seramai 203 petugas media dari 24 buah negara telah mengesahkan penyertaan program itu. Menurut beliau, kerajaan negeri masih menunggu keputusan enam lagi negara yang menunjukkan minat dengan program itu iaitu Austria, Belanda, Belgium, Denmark, Jerman dan Switzerland.

Katanya, negara-negara yang telah mengesahkan penyertaan termasuklah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Czech Republic, Hong Kong, India, Indonesia, Itali, Korea, Perancis, Filipina, Sepanyol, Singapura, Sweden, Thailand, United Kingdom dan Amerika Syarikat. “Selain Malaysia, peserta dari China paling ramai iaitu 30 penyertaan. Sehingga kini, seramai 21 orang telah menghantar boring dan salinan passport untuk menyertai program itu,” ujarnya.


Sebagai persiapan menyambut kedatangan pelancong katanya, beberapa lokasi candat sotong yang terkenal di Terengganu termasuk Pulau Kapas di Marang, Pulau Chepu dan Pantai Rhu Sepuluh di Setiu, Pulau Redang serta Pulau Perhentian dijaga rapi agar dapat dikunjungi kaki candat dari serata dunia.-TEGANUKITA.MY




Tiada ulasan:

Catat Ulasan