Pada
24 Jun 2012, dengan niat baik, saya menerima jemputan menjadi tetamu dan panel
Wacana Perdana PRU 13: Masa depan Islam, anjuran Kerajaan negeri Kelantan,
bersama dengan panel gandingan lain Dr Fadzli (exco Kerajaan Negeri Kelantan),
Ustaz Fathul Bari (ulamak muda UMNO), dan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin,
dipengerusikan Amin Idris (TV9). Apa
yang mengejutkan adalah tingkah laku sebahagian peserta yang hadir membanjiri Balai Islam, Kota
Bharu. Tingkah laku mereka yang bersorak, menjerit-jerit, mengejek, tidak
meraikan perbezaan dan sebagainya, langsung tidak mencerminkan akhlak Islam.
Begitu mengejutkan! mengalahkan wacana bukan Islam yang pernah saya hadiri.
Inikah yang dikatakan rakyat Serambi Mekah?
Hilang
sudahkah ajaran ‘tok guru’ yang selama ini mereka pelajari? Saya dan Fathul
Bari, seolah-olah tidak diberikan ruang untuk berhujah. Mereka tidak dapat
menerima perbezaan pendapat. Sedangkan kami hanya berkata benar. Isu partisan langsung
tidak dibangkitkan, kecuali Dr Fadzli. Apakah ini dinamakan fanatik atau taksub
sehingga menyangkakan mereka yang betul, orang lain salah? Fanatik bermakna
sikap yang keterlaluan dan melampau dalam sesuatu pegangan atau pendirian yang
biasanya berkaitan dengan keagamaan. Tidakkah
kita sepatutnya berlapang dada dan fikiran serta sabar yakni tasamuh atau
bertoleransi? Beberapa saya ingatkan, apabila berhujah, bincangkan apa yang
betul, apa yang salah kerana itu akan membawakebaikan dan meningkatkan
minda. Bukannya menuding jari siapa betul, siapa salah, kerana ia hanya akan
mengkerdilkan minda. Ingatlah
wahai umatku! sikap fanatik dan taksub adalah dilarang oleh Allah S.W.T.
terhadap umat yang dahulu seperti yang ditujukan khas kepada Ahli Kitab. FirmanNya
yang bermaksud:
“Katakanlah,
“Wahai Ahli Kitab! janganlah kamu melampau-lampau dalam agama kamu secara yang
tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum telah
sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang)
mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul”. (Surah al-Ma’idah:77)
Saya
lihat sebahagian besar mereka yang hadir teramat taksub dan fanatik kepada
pendapat sendiri, mahu pun guru atau kumpulan mereka. Perbuatan mereka begitu
melampau. Kejumudan pemikiran mereka begitu terserlah. Kebekuan pemikiran
mereka tidak mampu untuk berbincang bagi membandingkan pendapat sendiri dengan
pendapat orang lain, terutama dalam mengambil pendapat yang lebih kuat dalil
dan alasannya. Menurut
Mohammad Kamil Majid (2011), taksub dan fanatik adalah sikap menutup pintu bagi
pandangan lain yang berbeza dan berusaha untuk menidakkannya. Sikap
ini adalah pembawaan yang memandang bahawa hanya diri sendiri atau kumpulannya
sahaja yang betul. Malah secara berani menuduh orang yang berlainan pendapat
darinya sebagai jahil, bodoh, fasiq dan derhaka. Seolah-olah menjadikan diri
sendiri sebagai nabi yang maksum dan perkataannya sebagai firman yang
diturunkan. Sikap
taksub dan fanatik ini dikutuk kerana, ia mengikat orang lain dengannya dan
menafikan peranan orang lain. Justeru itu, mana-mana orang atau kumpulan yang
taksub dan fanatik tidak mungkin bertemu dengan pihak lain.
Sikap
taksub dan fanatik ini dikutuk kerana, ia mengikat orang lain dengannya dan
menafikan peranan orang lain. Justeru itu, mana-mana orang atau kumpulan yang
taksub dan fanatik tidak mungkin bertemu dengan pihak lain. Keadaan
akan menjadi lebih buruk, apabila ia mahu mewajibkan pandangannya ke atas orang
lain dengan kekerasan seperti mengutuk dan menuduh orang lain melakukan tidak
betul, bidaah, kufur dan keluar dari agama. Fenomena ketaksuban juga boleh
berlaku apabila ada golongan yang mengkafirkan masyarakat secara menyeluruh,
kecuali mereka yang berpegang kepada prinsip mereka atau menganggotai jemaah
mereka sahaja. Ketaksuban
ini boleh membawa kepada menghalalkan darah dan harta orang yang di luar
jamaah, kerana telah dianggap murtad dan kufur. Golongan melampau juga akan
memperlihatkan sikap pra-sangka buruk kepada pihak lain. Lebih banyak menuduh
dan menghukum dari memberi nasihat dan pengajaran. Kekerasan
bersenjata mungkin digunakan terhadap perkara yang mereka anggap batil.
Selalunya ia ditujukan kepada pemerintah yang tidak melaksanakan hukum seperti
yang diperintahkan oleh Allah SWT atau menangguhkan pelaksanaan syariat dan
menggantikannya dengan hukuman ciptaan manusia. Golongan
ini akan melancarkan jihad terhadap sesiapa yang enggan menunaikan hukum Islam
(Mohammad Kamil, 2011). Pada saya, inilah sebenarnya yang menjadi punca kemunduran
umat Islam ialah kerana salah faham umat Islam terhadap akidah mereka.
Dalam
hal ini, bukan akidah itu yang salah, tetapi cara memahami akidah itu yang
salah. Di manakah sikap kesederhaaan (berimbang) atau wasatiyyah yang
sepatutnya menjadi pegangan kita semua? Lebih menyedihkan lagi, mereka bersorak
dan mengejek-ngejek ketika ayat-ayat Quran dan Hadis dibacakan. Maka
benarlah kata-kata Syaikh Al-Albani yang mengatakan, umat Islam masa kini,
semakin jauh tersasar. Mereka hanya berpegang kepada pendapat pemimpin mereka.
Tatkala terjadi perselisihan, pendirian mereka pada dasarnya kembali kepada
pemimpin mereka, jika ada ayat yang sesuai, mereka ambil, jika tidak, mereka
sisihkan. Saya
ingatkan pimpinan negeri Kelantan, sebagai pemimpin umat Islam hari ini,
hendaklah berhati-hati dalam memimpin anak buahnya agar jangan sampai menjadi
penyebab kerosakan umat. Mereka hendaklah takut kepada Allah SWT. Bacalah surah
Ibrahim : 21-22, Al-Ghafir : 47-48, dan As-Saba’ : 31-33. Mudah-mudahan Allah
SWT memberi petunjuk kepada kita semua, menjadi pemimpin yang mengajak umat ke
jalan benar dan hak, bukannya batil.
Bagaimanakah
kita sebagai satu umat itu boleh maju ke hadapan, apa tah lagi boleh memimpin
umat Islam, jika kita asyik berpecah belah sesama sendiri? Saling bermusuhan
dalam perkara titik bengik dan hilang pertimbangan, kerana rasa fanatik dan
taksub kepada pegangan dan ajaran masing-masing. Kenapa
dengan bukan Islam kita begitu berlembut, sedangkan sudah jelas mereka
menentang Islam? Apakah kita menjangka mereka akan memeluk Islam dengan
menggadaikan prinsip dan maruah? Tidak boleh dibezakan antara kafir harbi dan kafir
zimmi? Saya masih ketika mengikuti kuliah-kuliah Pas dahulu, bertepuk tangan
itu dalam majlis seolah-olah haram. Hari
ini mereka terlebih bertepuk daripada UMNO sendiri. Apakah makna semua ini?
Itupun mereka masih terus menuding jari kepada Umno tanpa mahu muhasabah kepada
diri sendiri?
Kesimpulannya,
mereka yang saya perkatakan ini sebenarnya keliru dan tidak boleh membezakan
antara tugas pemerintah dengan tugas individu atau rakyat marhaen. Mereka
tidak dapat membezakan antara ajaran tok guru dengan ajaran Islam yang sebenar.
Semua yang dilakukan oleh tok guru, seolah-olah maksum. Saidina Abu Bakar RA
memerangi orang yang tidak membayar zakat dan murtad adalah sebagai menjalankan
tugas sebagai pemerintah. Pada peringkat individu, mereka sepatutnya melakukan
amar maaruf nahi mungkar. Mencegah
kemungkaran dengan menggunakan kekuasaan tidak semestinya atas semua orang,
tetapi bagi yang ada kuasa terhadap orang bawahannya. Begitulah dalam konteks
negeri Kelantan. Rakyat Kelantan mesti dididik untuk berlapang dada dan
bersikap terbuka menerima orang lain dan perbezaan yang wujud. Kita
tidak mahu mendengar lagi ada yang sanggup bakar stadium dan trak polis hanya
kerana kalah dalam permainan bola sepak. Ini bukan lagi taksub tetapi telah
diserang dengan virus Permanent Head Damaged (PHD). Tidak dinafikan saya agak
sedikit beremosi ketika wacana itu, tetapi saya tidak berada dalam kelompok
PHD.
Saya
mungkin akan dikutuk dan diserang lagi selepas ini seperti yang dilakukan dalam
you tube Wacana tersebut, yang sedang tersebar dan hangat diperkatakan. Tetapi
saya mengambil sikap tidak kisah. Puak-puak
fanatik dan taksub ini boleh berkata apa sahaja tentang diri saya. Saya tidak
perduli apa yang manusia mahu kata. Saya lebih peduli kepada apa yang Allah
kata. Jika ada kesempatan lagi, mungkin akan pergi ke Kelantan, untuk melihat
telatah-telatah PHD ini. Mudah-mudahan
dengan tersiarnya artikel ini, pihak kepemimpinan negeri Kelantan akan
mengambil langkah-langkah tertentu untuk mengurangkan dan mengatasi masalah
kefanatikan dan PHD di kalangan pengikut-pengikutnya. Jika tidak, tag line
“membangunkan bersama Islam” yang menjadi pegangannya, hanya akan tinggal
menjadi kata-kata yang enak didengar, tetapi tidak ke mana-mana.
Pakailah
serban dan kopiah sebesar manapun, tidak ada maknanya, jika akhlak kita tidak
mencerminkan sunnah yang sebenar. Pendek kata, jika kita ingin membangun
bersama Islam, pastikan di dalam kopiah dan serban itu tidak bersarang PHD.
Jauhilah sifat fanatik dan taksub.
Prof.
Madya Dr. Ridhuan Tee Abdullah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan