MARANG 11 Mac - Lapan penduduk di
Kampung Pantai Seberang Marang di sini mendakwa mendengar bunyi dentuman yang
kuat pada pagi Sabtu lalu datang dari timur laut Pulau Kapas, kemungkinan ada
kaitan dengan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang
hilang. Berikutan itu mereka telah membuat laporan di ibu
pejabat polis Daerah Marang kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.
Salah seorang penduduk terbabit, Alias Salleh,
36, berkata pada pukul 1.20 pagi berkenaan ketika beliau bersama tujuh lagi
rakannya sedang bersantai duduk di bangku kira-kira 400 meter dari pantai
Marang, tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi kuat seperti kipas kapal terbang.
"Bunyi yang kuat dan menakutkan
itu dipercayai datang dari timur laut Pulau Kapas sebelum kami bergegas ke arah
tersebut untuk mengesan punca bunyi itu. "Kami mencari di sekitar Pantai
Rhu Muda namun tidak menemui apa-apa yang mencurigakan," kata Alias,
seorang pemandu lori.
Ditanya mengapa beliau membuat
laporan selepas empat hari kejadian itu berlaku, bapa kepada tiga orang anak
itu berkata, beliau bertanggungjawab untuk melaporkan maklumat kepada pihak
berkuasa bila pesawat masih tidak ditemui hari ini selepas empat hari berlalu.
Sementara itu, seorang lagi
penduduk Mohd Yusri Mohd Yusof, 34, berkata bunyi yang kuat dan agak pelik itu
pada awalnya disangkakan fenomena Tsunami.
"Bunyi bising yang
kedengaran seperti kipas kapal terbang itu dapat saya dan rakan-rakan dengar
selama dua minit dan bunyi itu berdesing.
"Saya mengambil keputusan
ini (membuat laporan) selepas berasa curiga dengan bunyi itu dan ditambah lagi
dengan laporan media berkaitan kes kehilangan pesawat," kata beliau.
Mohd Yusri turut mendakwa
beberapa kawannya termasuk pemancing dan nelayan turut mendengar bunyi aneh
berkenaan dari arah pantai.
Pesawat MAS Penerbangan MH370 itu
membawa 227 penumpang, termasuk dua bayi dan 12 anak kapal, hilang semasa dalam
perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira sejam setelah
berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pada 12.41
pagi Sabtu.
Sumber: BERNAMA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan