BESUT – Seorang
surirumah berusia 29 tahun menjadi mangsa pertama yang meninggal dunia akibat
demam denggi di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Muhammad Pehimi Yusof berkata mangsa
tinggal di Kompleks Perumahan Polis, Padang Hiliran, Kuala Terengganu. Beliau
berkata mangsa dimasukkan ke wad Hospital Sutanah Nur Zahirah pada 5.35 petang
Khamis lepas dan meninggal dunia pada kira-kira 12.30 tengah hari semalam.
“Ujian darah ke atas mangsa mendapati mangsa
positif denggi. Ini adalah kes kematian pertama akibat denggi di Terengganu
sejak tahun 2011,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung
Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Daerah Besut di sini hari ini.
Muhammad Pehimi
berkata sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Terengganu kini mempertingkat
pemeriksaan ke semua unit kediaman di Kompleks Perumahan Polis berkenaan selain
semburan pengasapan dan pemusnahan jentik-jentik nyamuk dalam tempoh tiga hari
di semua lokaliti kes.
“Operasi
besar-besaran yang membabitkan pengedaran kit denggi yang mengandungi abate,
plastik sampah dan bahan pendidikan kesihatan akan dibuat di setiap rumah
bermula hari ini,” katanya.
Anggota Dewan
Undangan Negeri Kawasan Jerteh itu juga berkata gotong – royong membabitkan
anggota kesihatan, badan bukan kerajaan (NGO), agensi negeri dan
individu isi rumah di
Padang Hiliran akan berterusan selama 7 hari. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan