MARANG: Keputusan pelik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
berhubung surat pertuduhan kepada Johor Darul Ta’zim (Johor DT) menimbulkan
persoalan dan suasana tidak senang Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu
(PBSNT).
Presidennya
Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, surat pertuduhan yang
dikeluarkan FAM kepada Johor DT atas kesalahan gagal menyediakan kawalan
keselamatan berikutan insiden kekecohan di ‘terowong Larkin’ 1 Februari lalu
lebih kurang sama dengan faktor T-Team menarik diri daripada perlawanan itu.
“Sebelum ini FAM menolak alasan faktor keselamatan yang dikemukakan T-Team ketika menarik diri daripada meneruskan baki saingan separuh masa kedua Piala FA dengan FAM memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada tuan rumah.
“Tapi
sekarang FAM pula mengeluarkan surat pertuduhan kepada Johor DT kerana gagal
menyediakan kawalan keselamatan yang sekali gus menimbulkan persoalan,”
katanya.
Beliau berkata, sepatutnya FAM sudah lama mengeluarkan hukuman kepada mereka yang didapati bersalah dan bukannya sekarang kerana isu berkenaan sudah lebih sebulan berlaku, apatah lagi kes berkenaan berprofil tinggi serta memerlukan penelitian sebelum menjatuhkan hukuman.
“Selepas lebih sebulan kami ternanti-nanti apa keputusan FAM berhubung insiden berkenaan. Sepatutnya isu ini boleh diselesaikan lebih awal bagi membolehkan T-Team menumpukan perhatian terhadap liga.
“Kami
masih menunggu apa kesudahan insiden ini sambil berharap keputusan yang bakal
dikeluarkan FAM nanti telus bagi mengangkat martabat sukan ini,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Negeri Terengganu (PETEH) Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata, PETEH turut berasa hairan dengan keputusan FAM itu.
“Sebelum
ini kenapa tidak terima alasan T-Team sebaliknya memberi kemenangan percuma
kepada Johor DT. Ini selepas lebih sebulan baru FAM mengeluarkan surat
pertuduhan dan bukannya hukuman.
“Soalnya di mana ketegasan FAM yang kononnya ber sikap adil. Justeru kami mahukan FAM tegas dalam mengendalikan insiden ini supaya tidak dipandang serong peminat dan persatuan.
“PETEH berharap FAM perlu menyelesaikan kes ini secara profesional dan tidak pilih bulu bagi mengelak sesetengah pasukan dan pemain menjadi mangsa keadaan selain bagi mengangkat imej FAM itu sendiri,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan