SEKIRANYA datang kepada kita seseorang
membawa berita tentang apa yang "sebenarnya" terjadi kepada pesawat
penerbangan MH370 — itu ini, begitu begini, janganlah kita terus percaya
bulat-bulat. Hendaklah kita siasat dengan teliti.
Kita barangkali mudah menepis cerita yang
didakwa kisah sebenar — kononnya — tentang nasib malang MH370 itu kalau ia
berkait dengan tenung nasib, ilmu tilik atau teropong ajaib. Ini cerita karut,
tidak masuk akal dan menyesatkan, kata kita.
Pesawat milik Penerbangan Malaysia
berpendaftaran 9M-MRO yang dikenali umum dengan nama MH370.
Tetapi kita — tidak semua — mudah pula
sebaliknya terperangkap untuk percaya dengan cerita yang kononnya datang
daripada mimpi, misalnya. Mimpi-mimpi itu sekarang tersebar melalui jaringan
sosial media, dikongsi oleh kawan yang kemudian berkongsi pula dengan kawan-kawan
yang lain. Begitulah seterusnya.
Seorang ustaz yang bergiat dalam perubatan
Islam menulis di Facebook tentang mimpinya melihat detik-detik akhir pesawat
MH370 sebelum jatuh ke laut. Macam mana 'establishing shot'bahawa pesawat itu
adalah penerbangan MH370 tidak beliau ceritakan dalam tulisannya itu — apakah
ada penampakan nombor pendaftaran pada ekor pesawat, apakah ada pengumuman oleh
juruterbang atau apakah tahu-tahu begitu saja mimpinya.
BACA SINI: USTAZ MIMPI PESAWAT MH370 TERHEMPAS DI LAUTAN
BACA SINI: USTAZ MIMPI PESAWAT MH370 TERHEMPAS DI LAUTAN
(Tetapi naratif mimpi begitulah; memang
selalu tidak ada aturan, melawan logik akal dan selalu juga, melawan hukum
alam. Seorang kawan saya mengaku setiap kali dia bermimpi terjatuh daripada
tempat tinggi, dia tidak pernah jatuh sampai ke tanah — selalu saja terbang
jatuh tetapi tidak jatuh-jatuh. Mimpi seperti itu — yang selalu — cukup
memenatkan, katanya.)
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiv6KvuaOGKvAl-yTSKx00kR9sqbC4XgSgBqe_pThq5IoEo0iOaflt-1_QK26El8FQrrqQ-AdZ160bnaGf8OedmuIRHlncZ-L9aUsbAh0ohyNJw1pDhhJ3HUBVP4iw6QValBSxuZm5l-IE/s1600/%D9%87%D9%89%D9%8A%D8%AE.jpg)
Ada satu persamaan pada dua cerita ini:
bahawa kedua-duanya berlaku selepas mereka membaca Al-Quran atau bersolat
sunat. Ada banyak cerita seperti ini. Bomoh yang melagakan dua biji kelapa muda
itu pun melaungkan kalimah Allahuakbar. Bahawa ada nuansa agama dalam
cerita-cerita seperti ini adalah hal yang cukup menarik — agama jadi bumbu yang
menyedapkan cerita, yang memberikan rasa yang lain kepada yang mendengarnya.
Apakah mimpi dan hal-hal lain itu boleh
dipercayai? Siapa yang hendak percaya, percayalah. Siapa yang tidak mahu
percaya, tidak usahlah percaya. Berpeganglah kepada panduan ini: Kamu dengan
kepercayaanmu, aku dengan kepercayaanku.
Tetapi selain mimpi dan hal-hal ghaib yang
disangkutkan dengan misteri kehilangan MH370, ada juga 'tukang tilik' yang
muncul dengan bermacam-macam teori. Sesetengah mereka ini muncul di televisyen
dan akhbar dengan penampilan yang meyakinkan — maklumlah, jual ayat.
(Gambar Kiri) Imej satelit objek-objek
berkemungkinan serpihan MH370 yang dikeluarkan pihak berkuasa.
Ada cerita kononnya pesawat itu disorok di
satu tempat rahsia untuk kegunaan akan datang. Ada cerita ia gagal dikesan
kerana ada pihak yang menggunakan teknologi halimunan. Ingat cerita Harry
Porter dengan jubah halimunannya?
Ada juga cerita kononnya pesawat itu hilang
kerana persaingan merebut hak paten yang dipegang oleh penumpangnya. Ada juga
cerita kononnya MH370 terbang dibayangi sebuah pesawat lain milik Singapore Airlines dan
kerana itu ia tidak dapat dikesan oleh radar. Ada juga cerita kononnya pihak
berkuasa berkonspirasi menyembunyi cerita yang sebenarnya.
Dalam banyak-banyak teori konspirasi itu, ada
satu yang menjadi pilihan saya. Seorang aktivis wanita di Kuwait tampil
mendakwa dia tahu kenapa pesawat Malaysia Airlines itu hilang. Katanya, di
kalangan penumpang MH370, ada seorang "personaliti Asia yang
penting". Dia tidak menamakan siapa penumpang itu.
Tetapi, melalui satu mesej di YouTube,
aktivis itu menegaskan dia hanya akan mendedahkan maklumat tersebut kalau ada
permintaan rasmi. "Tidak bolehkah Malaysia menghantar wakil kedutaan untuk
berjumpa saya (dan mendapatkan maklumat tersebut)? Kenapa perlu hanyar sampai
40 buah pesawat mencarinya dan mengheret seluruh dunia dalam masalah yang saya
boleh selesaikan dengan mudah?" kata wanita itu.
"Percayalah, saya boleh selesaikan
masalah ini kalau mereka (Malaysia) secara rasmi minta pertolongan saya. Banyak
orang minta saya campur tangan tetapi saya tidak mahu kecuali ada permohonan
rasmi."
Dalam tragedi, banyak orang yang bersimpati
dan memahami tetapi banyak juga yang pasang lukah di tempat genting. Setakat
ini, sesiapa pun yang mendakwa tahu sebab musabab kehilangan MH370, sama dia
raja penipu atau tilikannya bernasib baik macam Nujum Pak Belalang.
Sehingga ini, teori tetap tinggal jadi teori.
Seorang kawan saya menulis di Facebook: "Janganlah kita yang rasional ini
terpedaya dengan teori konspirasi. Yang sakit mental itu, biarlah."
Misteri kehilangan pesawat Malaysia
Airlines itu mungkin hanya akan terjawab apabila kotak hitam pesawat itu
berjaya ditemui. Atau mungkin juga nanti apabila siasatannya selesai, kita
tetap tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku pada 8 Mac lalu.
Tetapi sehingga misteri ini dirungkaikan
nanti, kita akan terus dihadapkan dengan banyak orang yang muncul dengan
bermacam-macam teori. Mereka mungkin merasakan teori-teori itu menjadikan
mereka sebagai VIP, orang yang penting. Mereka tidak sedar betapa teori-teori
itu menjadikan mereka VDP, very dumb person. - ASTRO AWANI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan