KUALA TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
(JBPM) Terengganu dapat mengawal dan memadamkan sepenuhnya dua kawasan hutan
belukar yang memusnahkan keseluruhan 120 hektar kawasan di Kemaman dan Besut,
kelmarin.
Pegawai Pusat Gerakan dan Operasi Bomba negeri Mohd Hasbullah
Halipah berkata kebakaran hutan di Teluk Kalong, Kemaman, melibatkan keluasan
108 hektar dipadamkan sepenuhnya jam 4 petang kelmarin.
Satu lagi kebakaran di Gong Kepas, Besut memusnahkan 10
hektar belukar yang terbakar sejak 4 Mac dapat dikawal sepenuhnya jam 10 pagi.
“Dua kebakaran belukar yang dikesan sejak Selasa dan Rabu
lepas berjaya dikawal dan kini masih tinggal empat lagi kawasan hutan tanah
gambut yang masih dalam operasi pemadaman.
“Kami sedang melipatgandakan usaha bagi memastikan kesemua
baki kawasan hutan di Kampung Tok Kah (Dungun), Ladang Tabung Haji, Ladang
Rakyat (Setiu) dan Kampung Pagar Besi di Batu Rakit (Kuala Terengganu) dapat
dipadamkan sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.
Menurut Mohd Hasbullah kebakaran di Tok Kah melibatkan
kawasan seluas 411 hektar yang bermula sejak 25 Jan lepas dapat dikawal dan
hanya satu hektar lagi kawasan hutan tanah gambut berkenaan masih belum
dipadamkan.
Katanya bagi kebakaran di Ladang Rakyat yang dikesan
bermula 25 Feb lepas pula, sehingga kelmarin seluas 137 hektar kawasan itu
dapat dipadamkan dan kini usaha memadam 70 hektar lagi kawasan sedang giat
dilaksanakan.
Operasi memadam kebakaran di Ladang Tabung Haji
membabitkan kawasan 7 hektar daripada keseluruhan 23 hektar sedang giat
dijalankan.
“Kebakaran hutan di Kampung Pagar Besi bermula Selasa
lepas melibatkan keluasan 200 hektar dan kita hanya dapat padamkan 8 hektar
kerana tiada akses jentera memasuki kawasan hutan itu,” katanya. — Bernama
Read more:http://www.theborneopost.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan