SURABAYA – Umno dan PAS perlu memiliki
‘kekuatan’ untuk mencari ‘titik persamaan’ bagi mencapai visi yang lebih besar
dalam konteks memperkasa agenda bangsa Melayu dan agama Islam di Malaysia. Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas Datuk Fuad Hassan
berkata pada dasarnya, kedua-dua parti mempunyai banyak persamaan walaupun
berbeza ideologi politik iaitu perjuangan berteraskan agama dan bangsa Melayu.
“Umno dan PAS sebenarnya banyak persamaan jika
dibandingkan pakatan antara PAS dengan PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan DAP
dalam agenda agama dan bangsa.
“Kedua-dua parti seharusnya memikirkan secara mendalam
tentang visi bersama ini kerana pada akhirnya, perpaduan dan kesatuan yang
penting bagi mencapai cita-cita majoriti penduduk Malaysia,” katanya kepada
pemberita selepas membentang kertas kerja bertajuk ‘Pendidikan
Mentransformasikan Politik Melayu’ bersempena Seminar Pendidikan Melayu
Antarabangsa (Sepma) ketiga di sini, Sabtu.
Pada masa sama, beliau berkata pandangan serta pendapat
masyarakat minoriti perlu dihormati serta diambil kira oleh kedua-dua parti
dalam memperjuang nasib bangsa Melayu dan agama Islam di Malaysia.
Fuad berkata usaha kerajaan melindungi hak dan
kepentingan bangsa Melayu selama ini adalah kerana kaum itu belum memadai untuk
bersaing secara terbuka dengan masyarakat lain di Malaysia.
“Seperti kata tokoh pemikir Melayu Allahyarham Za’ba…
selama 500 tahun orang Melayu dijajah. Maka menurut Za’ba, orang Melayu
memerlukan sekurang-kurangnya 250 tahun untuk dibantu oleh kerajaan agar
kedudukan mereka menjadi kukuh,” katanya sambil menambah antara aspek yang
perlu diberi penekanan bagi memajukan bangsa Melayu ialah menerusi bidang
pendidikan.
Beliau berkata falsafah pendidikan di Malaysia ‘cukup
cantik tetapi ada beberapa elemen yang perlu disemak, misalnya kurikulum dan
sukatan pelajaran mengenai agama, sejarah dan budaya (bahasa) perlu diterap
tanpa mengira apa jua bidang pengajian.
Katanya, dalam keadaan sekarang yang menyaksikan
perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu semakin meruncing, Umno dan PAS
perlu melihat jauh ke hadapan berkaitan’survival’ bangsa itu.
Objektif seminar tiga hari yang berakhir Isnin ini,
antaranya ialah menghimpun masyarakat Melayu serumpun bagi membincangkan isu
‘survival’ Melayu dan mentranformasi tindakan bangsa berkenaan ke arah
membangunkan misi sejagat.
Seminar anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
bertema ‘Bersatu Mendepani Survival Melayu’ itu akan dirasmi oleh Menteri Badan
Usaha Milik Negara Indonesia Dahlan Iskan pada Ahad.