Dato’ Seri Ahmad Said dan Dato’ Mohd Jidin
Shafee menjadi tetamu khas dalam program Assalamualaikum yang bersiaran secara
langsung di TV Al-Hijrah di Kuala Lumpur, hari ini.
Pesta Candat Sotong Antarabangsa Terengganu
2014 merupakan salah satu usaha berterusan kerajaan negeri menjenamakan produk
dan destinasi pelancongan tempatan ke pasaran pelancongan global. Penyertaan wakil media cetak, elektronik dan
media sosial dari seluruh dunia selama tujuh hari bermula 11 April ini
menyumbang kepada momentum promosi kalendar pelancongan Terengganu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata,
pesta bermusim antara April hingga Jun itu banyak membantu pengusaha dan
pemilik bot nelayan menambah pendapatan sekaligus memperkukuhkan ekonomi para
nelayan termasuk persatuan nelayan yang mengendalikan pakej pelancongan itu.
Katanya, pendedahan program candat sotong
melalui media mampu menyumbang kepada galakan dan promosi bagi memperkenalkan
lagi keunikan kepada dunia luar.“Kita mahu memberi peluang kepada wakil-media
media merasai sendiri keseronokan dan keunikan aktiviti mencandat sotong dan
seterusnya menulis serta menyiarkan pengalaman mereka dalam media masing-masing
di negara masing-masing.
“Untuk jangka masa panjang, cara ini lebih
efektif dalam mewujudkan keinginan dan keterujuaan kepada bakal-bakal pelancong
yang ingin merasai sama pengalaman yang hanya ada di Terengganu,” katanya. Beliau berkata demikan dalam satu wawancara
secara lansung di TV Al-Hijrah di Kuala Lumpur, hari ini. Selain Ahmad, turut menjadi tetamu khas
rancangan Assalamualaikum itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan
Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd. Jidin Shafee.
Pesta Candat Sotong Antarabangsa Terengganu
2014 satu usaha kerajaan negeri mempromosikan produk dan destinasi pelancongan
tempatan ke pasaran pelancongan global.
Mohd. Jidin berkata, setakat hari ini,
seramai 203 petugas media dari 24 buah negara telah mengesahkan penyertaan
program itu. Menurut beliau, kerajaan negeri masih
menunggu keputusan enam lagi negara yang menunjukkan minat dengan program itu
iaitu Austria, Belanda, Belgium, Denmark, Jerman dan Switzerland.
Katanya, negara-negara yang telah mengesahkan
penyertaan termasuklah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Czech Republic, Hong
Kong, India, Indonesia, Itali, Korea, Perancis, Filipina, Sepanyol, Singapura,
Sweden, Thailand, United Kingdom dan Amerika Syarikat. “Selain Malaysia, peserta dari China paling
ramai iaitu 30 penyertaan. Sehingga kini, seramai 21 orang telah menghantar
boring dan salinan passport untuk menyertai program itu,” ujarnya.
Sebagai persiapan menyambut kedatangan
pelancong katanya, beberapa lokasi candat sotong yang terkenal di Terengganu
termasuk Pulau Kapas di Marang, Pulau Chepu dan Pantai Rhu Sepuluh di Setiu,
Pulau Redang serta Pulau Perhentian dijaga rapi agar dapat dikunjungi kaki
candat dari serata dunia.-TEGANUKITA.MY